30 October 2012

Kualiti peguam muda harus ditingkatkan


http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20121021/wk_02/Kualiti-peguam-muda-harus-ditingkatkan





KUALA LUMPUR 20 Okt. - Majlis Peguam hari ini mendedahkan peguam muda di negara ini belum mencapai taraf kualiti antarabangsa bagi memenuhi kehendak majikan dalam pasaran kerja.

Bendaharinya, Steven Thiru berkata, kebanyakan peguam muda gagal menepati kelayakan asas seperti penguasaan bahasa Inggeris dalam penulisan dan kemahiran berkomunikasi serta pemikiran kritikal.

"Berdasarkan kaji selidik dilakukan ke atas 400 firma undang-undang di seluruh negara mendapati peguam muda termasuk pelatih tidak mempunyai asas kelayakan dan latihan yang diperlukan majikan.

"Situasi ini menyebabkan majikan terpaksa melatih golongan tersebut dari mula walaupun kemahiran itu adalah perkara harus dipelajari sejak awal lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas forum tentang hasil tinjauan keadaan kerja dan pembayaran gaji bagi peguam muda negara anjuran Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan (NYLC), Majlis Peguam.

Jelas beliau, kaji selidik itu juga menyatakan graduan berkelulusan undang-undang tidak kira dari universiti tempatan atau luar negara turut mengalami masalah yang sama.

"Mereka boleh menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu, namun gagal menguasai bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, majikan berasa sukar kerana banyak dokumen berkaitan menggunakan bahasa Inggeris," katanya.

Sehubungan itu, Steven mencadangkan kursus asas peguam diwajibkan kepada semua pengamal muda agar prestasi mereka meningkat.

Katanya, cadangan kursus tersebut masih dalam proses perbincangan setakat ini.

Dalam pada itu, Pengerusi NYLC, Richard Wee berkata, kira-kira 2,070 peguam muda yang berusia 25 hingga 30 tahun menerima gaji bulanan purata daripada RM3,001 hingga RM4,500 di sekitar Lembah Klang.

Katanya, perbezaan itu mengikut tahun perkhidmatan dari tahun pertama kepada ketiga.

Tambahnya, NYLC mencadangkan satu skim gaji iaitu RM4,000 sebulan kepada peguam muda di sekitar Lembah Klang bagi tahun pertama perkhidmatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20121021/wk_02/Kualiti-peguam-muda-harus-ditingkatkan#ixzz2AmL9gbLG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment